Susulan kes budak hilang; Sepanjang tempoh tersebut, Norieen dan rakannya, Mirusdiar Aluj, 11, tidak dapat tidur kerana terlalu takut dengan keadaan hutan yang menyeramkan. Ibunya, Midah Angah, 40, berkata, anaknya memberitahu, dua rakannya iaitu Ika Ayel, 9 dan Juvina David, 7, mati di sisinya.
‘‘Kata Norieen, dia sendiri tengok Juvina mati sehinggalah mayat berkenaan mulai reput dan berulat. Sepanjang malam Norieen tidak dapat tidur kerana takut serta tidak tahan dengan bau mayat rakan-rakannya,’’ katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd. Azam Ismail dan Ketua Puteri UMNO negeri, Marzuani Ardila Ariffin meluangkan masa melawat serta menyampaikan sumbangan kepada dua murid Orang Asli itu.
Kedua-dua mereka yang hilang bersama lima rakan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi selama 47 hari ditemukan oleh anggota penyelamat kira-kira 3.3 kilometer dari sekolah tersebut. Semalam, Norieen dilaporkan berkata, tiga rakannya mati dihanyutkan oleh arus sungai ketika cuba untuk minum air di sungai tersebut manakala dua lagi maut disebabkan kebuluran.
Midah berkata, biarpun sudah dua malam ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab (II), Norieen yang juga anak keenam daripada tujuh adik-beradik itu masih tidak dapat tidur lena. ‘‘Dia sering terkejut dan kadangkala air matanya mengalir ketika sedang tidur mungkin dia masih trauma kerana adiknya, Haikal, 8, juga mati di depannya.
‘‘Hari ini dia mula menunjukkan sedikit perubahan, dia minta buku dan alat tulis daripada jururawat, dia juga mula mewarnakan buku lukisan yang diberikan tetapi dia tidak banyak cakap.
‘‘Dia juga selalu minta makanan tetapi doktor tidak benarkan dia makan banyak. Dia hanya diberikan bubur mengikut masa yang ditetapkan kerana dia masih dalam proses pemulihan,’’ katanya.
Sementara, bapa saudara Mirsudiar, Aked Bahir, 46, berkata, keadaan anak sauadaranya kini beransur baik dan mula meminta untuk bermain telefon dan mendengar lagu. ‘‘Walaupun kurang bercakap, dia menunjukkan perkembangan yang baik kerana sudah berselera untuk makan dan malam tadi dia tidur dengan lena.
‘‘Selain meminta untuk bermain telefon, dia juga ada bertanya untuk pulang ke rumah. Mungkin dia rindu,’’ katanya. Sementara itu, Pengarah Hospital HRPZII, Dr. Wan Hazimah Wan Mohamed berkata, setakat ini keadaan kedua-dua murid berkenaan stabil.
‘‘Kita akan memberi rawatan fizikal dan psikologi secara menyeluruh kepada mereka,’’ katanya.
0 comments:
Post a Comment